BAKAL GRADUAN

Saturday, March 3, 2012

SEKILAS BERITA: SELAMAT HARI LAHIR KE 52




Pada 03 Mac 2012 (Sabtu) merupakan hari yang paling bermakna kepada seluruh warga sekolah kerana berkesempatan untuk sama-sama meraikan sambutan hari lahir pengetua ke-52. Upacara memotong kek oleh Tn Hj Mohamad bin Mahadi telah berlangsung di Kafetaria SAKTI sebelum bermulanya Larian SAKTI 2012. Semoga dipanjangkan umur dan diberi kesihatan serta kesempurnaan dalam hidup seterus dapat membimbing SAKTI mencapai Misi dan Visi sekolah.

SEKILAS BERITA: LARIAN SAKTI 2012




03 MAC (Sabtu) - Larian Sakti 2012 yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum sekolah telah berlangsung dengan jayanya bermula jam 8.15 pagi dan berakhir pada 11.30. Pada tahun ini pasukan Alfa telah berjaya merangkul kejuaraan diikuti oleh pasukan Gama, Beta dan Sigma. Larian ini telah disempurnakan permulaannya oleh Yang Berusaha Tn Hj Mohamad bin Mahadi, Pengetua SAKTI. Turut terlibat membantu menganjurkan kejohanan ialah RELA Bandar Penawar, Polis Balai Polis Bandar Penawar, Lembaga Getah Malaysia dan Sekolah Sukan Bandar Penawar. Kepada semua yang terlibat diucapkan terima kasih dan kepada yang berjaya TAHNIAH diucapkan.

Friday, March 2, 2012

ANAKLANANG SAKTI : ADA YANG BAHARU DI SAKTI


Mercu Tanda Baharu "SAKTI- SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI" Terima kasih kepada para penyumbang utama anak-anak SAGACIOUS 94. Anda pernah menjadi sebahagian daripada kami. Begitu juga Koperasi sekolah dan PIBG.





Wakaf Pembelajaran bersebelahan Blok B Pentadbiran - Terima kasih kepada YB Hamimah Manshor, keperihatinan YB amat kami sanjung tinggi dan dihargai. Terima kasih daun keladi.....



Wajah baharu bas SAKTI. Yang lama dilupa jangan, yang baharu khabar-khabarkan. Kepada pihak yang berkerja keras menguruskan penampilan terkini bas SAKTI, syabas dan terima kasih.......Ayahanda Hj Hassan, Burn, En Mislah, En Din dan En Zol. Reka bentuk yang hebat dan 'garang'. TAHNIAH SEMUANYA.

Wednesday, February 8, 2012

ANAKLANANG SAKTI : DI SEBALIK SBT






Sekitar kunjungan hormat sebagai tanda terima kasih ke kediaman rasmi 'Mentor'
Hj Hassan bin Topit, bekas Ayahanda Pengetua SAKTI, sempena penganugerahan SAKTI sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi Kohrot 3 2012.

Sebaik sahaja melepasi Tol Nilai menuju ke arah Selatan melalui Lebuhraya PLUS fikiran masih lagi berlegar-legar teringat akan majlis yang dihadiri di Putrajaya sebentar tadi. Secara jujur, masih lagi tidak percaya bahawa SM Sains Kota Tinggi menjadi antara 14 sekolah yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Kementerian Pelajaran Malaysia , Kohort ke-3, 2012. Berbanding 4 buah sekolah menegah yang turut terpilih, SAKTI antara yang paling ‘muda’. Usianya baharu 16 tahun. Pasti ada sesuatu yang ‘menarik’ sehingga SAKTI mampu meraih anugerah berprestij ini. Tidak mungkin pegawai-pegawai yang hadir melakukan pemantauan membuat penilaian ‘ala kadar’. Anugerah ini melibatkan peruntukan, apatah lagi menjadi sebahagian daripada Program Tranformasi Kerajaan!. Kalau hendak diamat-amati pengiktirafan ini turut melibatkan ‘maruah’. Sudah pasti pemilihannya sangat berhati-hati dan teliti. Malahan, sebagai salah seorang yang diamanahkan untuk melayan kunjungan pegawai-pegawai pemantau, ‘tension’ juga dibuatnya mencari dokumen dan data yang dikehendaki.

Bercakap tentang SBT, ada banyak elemen yang telah menyumbang sehingga SAKTI layak menerima pengiktirafan setinggi itu. Tanpa menafikan peranan yang telah dimainkan oleh pengetua-pengetua terdahulu, siapapun boleh menjangka bahawa ada individu pengetua yang hebat telah menjadi catalyst atau nakhodanya. Individu ini pasti memiliki ciri-ciri kepimpinan yang dinamis dan berkesan sehingga mampu menyuntik keyakinan serta meyatukan hasrat seluruh warga SAKTI agar mampu berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan SBP yang lebih berdaya maju sama ada dalam pengurusan, akademik, sahsiah atau kokurikulum. Menyedari bahawa kerbau seratus dapat digembalakan, manusia seorang tidak terkawal maka beliau memperkenalkan Model 1 Sakti sebagai salah satu cara untuk memantapkan gerakan ke arah hala tuju mencapai Visi dan Misi yang telah sama-sama dipersetujui. Perlu diakui bahawa idea seumpama ini hanya dilakukan oleh pemimpin yang memiliki matlamat jelas untuk melakukan perubahan. Sebenarnya, perkongsian hasrat dan cita-cita inilah yang menjadi nadi keberkesanan pengurusan dan kebersamaan warga SAKTI.

Dalam masa yang sama, ketekalan dan ketegasannya dalam aspek pemantauan turut diambil kira dalam menilai keberkesanan kepimpinan individu ini. Sebut apa saja program, aktiviti mahupun peristiwa yang berlaku di sekolah dan asrama sama ada kecil ataupun besar, semua dibawah pengetahuannya. Tidak bermakna beliau seorang autokratik, jauh sekali bersifat didaktor dalam pengurusannya! Beliau sekadar mahu memastikan perjalanan sekolah tidak tergelincir lalu tersasar dari matlamat asalnya. Berpegang kepada prinsip jangan sampai kudis menjadi tokak, beliau akan pantas mencari ‘ubat’ sekiranya ada masalah yang boleh menganggu perjalanan warga kerjanya. ‘Ubat’ itulah yang kadang-kadang amat pahit untuk ditelan oleh siapa sahaja yang terlibat. Bukan sedikit guru atau staf yang saban hari terpaksa masuk mengadap untuk memberi penjelasan berkaitan status perjalanan program atau aktiviti yang diamanahkan untuk diuruskannya.Kesanggupan dan keupayaannya membelek setiap inci pagar sekolah pada hari pertama beliau mendaftar di SAKTI , menjadi bukti kesungguhan individu ini dalam memastikan kecemerlangan pengurusan sekolah. Sebagai pembantu yang turut serta dalam ‘misi keliling pagar’ pada hari tersebut, memanglah terasa bisanya!.

Kerja bertangguh tidak menjadi ,kerja beransur tidak bertahan, menjadi satu lagi amalan dalam kepimpinannya. Prinsip kerja ini selalu diterapkan melalui ucapan dan tindakan beliau dalam mengurus sekolah. Memaparkan dapatan pemantauan menggunakan lensa kemara digitalnya seolah-olah menjadi satu agenda wajib dalam mesyuarat pengurusan saban minggu. Tujuannya supaya segala masalah dapat dilihat, dikongsi seterusnya membuat tindakan susulan secara kolektif dalam kalangan barisan kepimpinan sekolah. Secara tidak langsung nilai kebersamaan dalam kalangan warga SAKTI dapat diperkukuh. Ibarat kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah. Dalam masa yang sama, kualiti hasil kerja turut dititikberatkan. Biarpun agak ‘rimas’ untuk dituruti pada peringkat awal, akhirnya seluruh warga SAKTI akur dengan budaya kerja yang murni ini, sepahit-pahit peria, dimakan juga. Kesudahannya, guru-guru dapat memberi fokus yang lebih terhadap tugas utamanya di kelas, tanpa terbeban dengan timbunan kerja yang tidak terurus. Hal ini turut melatih warga SAKTI agar melaksanakan tugas secara terancang dan sistematik serta bijak mendahulukan apa yang memang patut diutamakan dalam setiap pengurusan kerja.

Keberkesanan sesuatu kerja tidak harus bergantung sepenuhnya kepada arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan sama ada melalui lisan atau tulisan. Sebenarnya, meletakkan diri agar menjadi contoh dan ikutan orang bawahan sudah memadai. Namun, hal ini bukan suatu kerja yang mudah bagi seorang pemimpin. Perlu ada Istiqamah agar tidak diperkata, umpama ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Lihat saja garaj kereta pada awal pagi. Sukar untuk menafikan hakikat bahawa beliaulah antara orang yang paling awal hadir ke sekolah. Keadaan ini mengakibatkan guru- guru terasa tercabar dan ‘segan silu’ untuk meletakkan kenderaan selepas kehadirannya. Akhirnya, kebiasaan ini menjadi budaya yang turut membantu kelancaran urusan harian guru dan staf dalam membantu mengurus perubahan di SAKTI.

Menyedari bahawa kecemerlangan akademik menjadi agenda utama di SBP, individu ini tidak pernah berasa berpuas hati dengan pencapaian SAKTI dalam peperiksaan PMR dan SPM. Maka, seluruh usaha telah digembelingkan bersama bagi memastikan SAKTI sentiasa berada pada kedudukan yang boleh mencabar sekolah-sekolah SBP yang lain. Pelbagai cara diteroka , pelbagai kaedah sentiasa dicuba bagi memastikam SAKTI memiliki momentum untuk bersaing. Tanpa bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebenarnya pada zamannyalah SAKTI berjaya memecahkan ‘kebuntuan’ untuk memperoleh GPS di bawah 2.0 dalam peperiksaan SPM. GPS 1.73 (2009) dan 1.95 (2010) menjadi bukti kehebatan beliau. Pada saat ini SAKTI masih menunggu dengan penuh debar keputusan SPM 2011. Manakala, rekod pencapaian terbaik PMR sepanjang penubuhan SAKTI turut tercatat semasa SAKTI di bawah empayar kepimpinannya. Dengan 71% calon PMR SAKTI memperoleh 8A (2010) anak-anak PMR pada ketika itu telah melakukan lonjakkan saujana berbanding dengan tahun sebelumnya yang sekadar mencatat 50.7 % (2009). Biarpun pada tahun 2011 cacatannya merosot sebanyak 0.01%, namun masih boleh dibanggakan.

Apapun yang difikirkan, SAKTI kini telahpun menerima pengiktirafan dari kerajaan melalui Kementerian Pelajaran. Segala penat lelah, kesungguhan, pengorbanan dan usaha warga sekolah dari guru, pelajar, PIBG termasuklah pekerja-pekerja swasta telah diperakui. Sehinggakan,ganjaran RM700,000.00 yang diberi oleh KPM untuk membiayai program dan aktiviti meningkatkan kecemerlangan murid dan sekolah menjadi agak kecil nilainya jika dibandingkan dengan pengiktirafan sebagai SBT. Pengiktirafan ini menyedarkan warga SAKTI, bahawa semuanya memiliki kemampuan untuk berjaya. Selalu memikirkan kelemahan dan ketidakmampuan diri merupakan tindakan yang kurang bijak. Kata orang, selembap-lembap puntung di dapur, ditiup menyala jua. Selepas ini warga SAKTI pasti bersatu, sepakat kita kuat, berpecah kita rebah. Tanpa disedari Honda City yang dipandu melepasi Tol Ayer Keroh Melaka. Hasrat untuk bertemu dengan Ayahanda Tn Hj Hassan bin Topit, catalyst SAKTI yang kini bertugas di MOCIZ harap-harap kesampaian. Kami ingin berkongsi kegembiraan dengan pengiktirafan ini.

Burung kedidi menangkap ikan

Anak helang bermain di taman

Secankir budi tuan hulurkan

Dahaga hilang sepanjang zaman

Friday, January 20, 2012

SEKILAS BERITA: SOLDADU PMR 2012 MULA SIAPSIAGA




sekitar majlis akujanji pelajar dan guru dalam pembentangan 'headcount' PMR 2012

20 Januari 2012 (Jumaat) - Bagi memastikan Misi SAKTI dapat dicapai, pihak sekolah melalui unit akademik telah mengambil langkah awal dengan melancarkan headcount individu khususnya untuk calon-calon PMR Sakti 2012. Tuan Pengetua dalam amanatnya telah menekankan akan peri pentingnya calon-calon PMR 2012 mengamalkan disiplin diri yang sihat, memberi fokus dalam mengurus kecemerlangan di samping tidak mengabaikan doa serta bertawakal kepada Allah SWT. Berdasarkan kepada semangat yang ditunjukkan, Insyallah pada tahun ini calon-calon akan mencipta sejarah baharu Gred Purata Keseluruhan yang telah dipersetujui bersama iaitu 1.0224. Calon-calon PMR 2012 dan guru-guru yang mengajar turut melafazkan aku janji bagi merealisasikan impian tersebut. Syabas moga soldadu-soldadu SAKTI ini akan cemerlang. Amin!!.

Friday, December 16, 2011

ANAKLANANG SAKTI: Dari Bandung ke Bendang Kg. Hj Dorani.













Perancangan awal untuk ke Bandung bersama anak-anak sempena cuti panjang kali ini terpaksa ditangguhkan. Lengguh juga nak ‘menepis’ serangan anak-anak akibat janji yang ‘dimungkiri’. Sebagai galang gantinya, janji baharu terpaksa dibuat. Kali ini mesti jadi. Kerja-kerja sekolah yang tidak pernah ada surutnya, terpaksa diuruskan sikit-sikit. Ikut keutamaan. Kerja-kerja juga, hasrat isteri dan anak-anak untuk pergi bercuti pun kena difikirkan. Itulah antara perkara yang berlegar-legar di minda semasa pulang dari pejabat walaupun dah hampir dua minggu cuti persekolahan berlalu. Asalnya teringin untuk ke Bukit Gambang Resort di Pahang, tapi tak mendapat sokongan ‘majoriti’. Lantas hasrat tersebut terpaksa dikuburkan begitu sahaja, walaupun homestay telah dihubungi. Anak-anak kata, boring asyik mandi manda sahaja. Lagipun tahun lepas kami dah pergi ke Bukit Merah. Tambahan pula takut banjir di Pantai Timur. Akhirnya, kami sepakat pada cuti kali ini nak merasai memancing di sawah@bendang. Along ditugaskan mencari lokasi melalui internet. Teringat Homestay Kampung Hj Dorani, di Sungai Besar Selangor yang terletak di tengah sawah. Bila cadangan dikemukakan orang yang paling gembira sekali ialah Aiman. SATU-SATUNYA anak yang telah mula kemaruk dengan hobi memancing.....sama seperti ibunya. Melihat keterujaannya menyediakan kelengkapan memancing, pun sudah rasa terhibur. Abang Din sebelah rumah menjadi sasaran. Ada saja petua-petua memancing yang dipelajari melaluinya, yang lain tumpang seronok.
Rabu, 14 Dis 2011, seawal jam 6.30 pagi, kami bergerak dari B. Penawar. Toyota Unser 1.8 yang dipandu sendat dengan bekalan. Makanan, beg pakaian dan tiga batang joran menjadi ‘penyeri’ perjalanan kami. Sambil melayan Retro Sinar dan sekali-sekali Klasik Nasional (anak-anak menjadi cepat terlelap) perjalanan hanya berhenti untuk mengisi petrol. Muka anak-anak mula ‘mencuka’ bila kenderaan yang dipandu membelok keluar ke tol Jasin menghala ke Bandaraya Bersejarah melalui lebuhraya AMJ yang baharu. Ambil kesempatan untuk hantar bahan cetakan di Bintang Printing di Taman Sri Kandang Melaka. Selesai ‘urusan sekolah’ tersebut, perjalanan diteruskan menuju utara sebaik saja keluar dari tol Ayer Keroh. Ketenangan sepanjang memandu kenderaan yang berusia 11 tahun sekali sekala terganggu dengan deringan telefon Nokia N97 hadiah dari isteri. Anak-anak buah mula ‘memancing’ supaya singgah dahulu di Shah Alam untuk menghilangkan lelah. Melihat daripada reaksi anak-anak khususnya Aiman cadangan mendapat bantahan. Takut hasrat untuk memancing tak kesampaian. Perjalanan mesti diteruskan. Sebaik saja kenderaan melepasi Bukit Jelutong melalui Lebuhraya Guthrie menuju ke Kuala Selangor barulah muka anak-anak ceria semula.
Melepasi Parit Empat Sekincan, mata mula meliar mencari lokasi yang dituju iaitu Homestay Hj Dorani. Anak-anak turut membantu. Bimbang terlajak. Namun, hasrat untuk terus ke homestay terpaksa ditangguhkan sebab perut mula keroncong untuk diisi. Tambahan pula umpan memancing belum dicari. Adik di Shah Alam terpaksa dihubungi untuk mendapatkan maklumat tentang kedai yang menjual umpan di bandar Sungai Besar. Dalam masa yang sama, beberapa’ tip’ memancing di sawah dipelajari melaluinya. Sungai Besar tak banyak berubah. Masih seperti dulu juga. Cuma satu yang isteriku rungutkan, kedai-kedai menjual baju dah ‘hilang’.......nasib baik! Kalau tidak, agenda baru akan masuk dalam atur cara percutian pada kali ini. Sebaik saja meletakkan kenderaan di hadapan KFC, langkah terus menghala ke sebuah kedai menjual peralatan memancing sebagaimana panduan yang diberikan oleh adik. Hasrat untuk membeli anak-anak katak (seperti yang dicadangkan) sebagai umpan tidak kesampaian kerana telah kehabisan. Memandangkan tiada pilihan, terpaksalah membeli umpun-umpun. Aiman yang sedari tadi memerhatikan urusan jual beli umpun-umpun dan beberapa peralatan memancing yang lain mula bersuara. Minta bantuan memasang umpan pada mata kail....geli katanya!.
Selesai mengalas perut dan membeli beberapa keperluan, kami terus menuju ke Kampung Hj Dorani. Hati mula berkocak kegembiraan melihat sawah padi menghijau terbentang luas di hadapan mata. Tanpa ditanya, Ilmu geografi yang dipelajari sehingga kami berdua memperoleh Ijazah pertama di UM, disampaikan kepada anak-anak. Kelat muka mereka mendengarnya. Homestay Hj Dorani kini di depan mata. Selesai berurusan dengan tuan rumah, terus menjengah bilik yang ditempah. Baru terasa penatnya lapan jam memandu dari Bandar Penawar bila melihat bilik kecil yang dilengkapi katil bersaiz sederhana beralaskan kain berona kuning. Hasrat untuk merehatkan badan terbantut, melihat Aiman dan Nazhan terkial-kial menyediakan joran. Puas memujuk supaya aktiviti memancing dimulakan lepas solat Asar, namun tidak diindahkan. Sekali lagi terpaksa mengalah dengan keinginan anak ‘jantan’yang membuak-buak apabila melihat parit-parit kecil di sekitar bendang yang menghijau. Lagi pun inilah sebenarnya hadiah hari lahir Aiman pada tahun ini. Alhamdulillah anak-anak yang lain memahami dan akur walau pun di hati hanya tuhan saja yang tahu perasaannya.
Sesi pertama memancing sangat menghampakan bagi seorang yang tidak begitu minat dengan hobi ini. Demi memenuhi hasrat anak, terpaksa juga menunggu ikan memakan umpan yang dipasang. Dalam hati mengharapkan ada ikan ‘buta’ yang menyambar umpun-umpun yang dibeli dengan harga RM14.00 itu. Dapatlah melegakan sikit rasa penat dan lenguh-lenguh badan. Terik matahari yang membakar tubuh makin terasa bahangnya. Hanya seekor anak ikan haruan yang sederhana kecilnya berjaya dinaikkan. Nikmat ‘pertarungan’ seperti cerita-cerita orang yang kemaruk memancing tidak terasa. Apa yang lebih menyedihkan joran Aiman masih belum mengena. Mukanya mula berkerut. Namun, satu yang perlu dipuji ialah semangatnya masih membara untuk menaikkan mangsa dengan jorannya sendiri. Menjelang maghrib, barulah anak ‘jantan’ kami akur dengan pujukan supaya mandi membersihkan badan. Malam itu, kami sekeluarga tidur selepas penat berjalan-jalan menikmati pemandangan sekitar homestay dengan ditemani cahaya bulan.
Esoknya lepas solat subuh, Aiman membimbit Nikon DSLR turun ke laman. Nak ambil gambar sawah padi yang masih diseliputi kabut. Cantik, katanya. Lepas sarapan di Sungai Besar, sesi memancing diteruskan. Kali ini lokasinya diubah ke Parit Empat Timur Sungai Besar. Harap-harap tidak mengecewakan khususnya untuk Aiman yang tak putus-putus berdoa dapat habuan. Adalah bahan cerita yang nak dibawa balik ke Bandar Penawar. Pantang nampak punca air pasti disuruhnya berhenti. Paling kurang meninjau-ninjau kalau-kalau ada ikan. Sehingga tengah hari nasib masih belum menyebelahi. Kepenatan sudah mula menjengah. Anak-anak yang lain mula merungut kepanasan sebab terlalu lama menunggu di dalam kereta. Aiman masih tetap dengan hasratnya untuk menaikkan walau seekor ikan. Puas dipujuk supaya berkemas namun tidak dipedulikannya. Akhirnya, dalam diam-diam dia berbisik......Yah, maaf ye, sebab Maman, ayah jadi kepenatan. Kekecewaannya dapat kami rasakan. Selamat tinggal Homestay Hj Dorani, ada masa nanti kami dating lagi.

Tuesday, December 13, 2011

SEKILAS BERITA: SELAMAT DATANG TN HJ MOHAMAD BIN HJ MAHADI

Selamat datang kepada pengetua baharu SAKTI, Tn Hj Mohamad bin Hj Mahadi. Kami warga SAKTI sentiasa bersedia untuk melaksanakan segala tugas di bawah bimbingan tuan. Semoga SAKTI akan terus gemilang dan dapat memberikan saingan yang positif dan akhirnya menjadi peneraju!. Kepada Tn Hj Hassan bin Topit, tuan telah telah banyak mengajar dan memberi bimbingan kepada kami. Terima kasih yang tidak terhingga atas jasa yang telah tuan taburkan di bumi SAKTI. Tuan telah meninggalkan ‘bekas’ yang memang selayaknya tuan tinggalkan. Moga tuan akan diberi kesihatan dan kerahmatan berpanjangan dalam hidup. Terima kasih.

Friday, November 18, 2011

SEKILAS BERITA: MAJLIS 5+1


Bakal graduan negara ...........menghiburkan dengan zapin



Terima kasih kepada YB Dato' Seri Azalina yang sudi hadir.



Pengetua melayan guru-guru.....anak-anak SAKTI yang bergaya..



Persembahan Ghazal dan Wind Orchestra SAKTI.... YB Hamimah melepaskan rindu



Tetamu yang hadir .......ucapan YB ADUN Penawar.



Pada hari Khamis, 10 November 2011, SAKTI telah menganjurkan satu majlis yang cukup meriah sebagai menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh semua warga sekolah termasuk pekerja-pekerja swasta iaitu MALAM SEMURNI BUDI SEMARAK INGATAN. Majlis makan malam ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Pn Hamimah bt Mansor, ADUN Kawasan Penawar, selaku tetamu kehormat. Lebih bermakna apabila pada majlis ini, beberapa tetamu khas yang diundang turut meluangkan masa untuk hadir termasuk mantan pengetua SAKTI iaitu Hj Ayob bin Jantan dan pengetua SMK Tanjung Datuk, Tn Hj Mohamad bin Mahadi. Majlis ini juga diadakan bagi meraikan pelajar-pelajar tingkatan 5 yang akan meninggalkan SAKTI sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun ini. Pelbagai persembahan seperti gazal, tarian zapin dan wind orchestra telah dipertontonkan kepada tetamu bagi memeriahkan lagi majlis pada malam tersebut. Tetamu turut menerima kejutan apabila Yang Berhormat Pn Hamimah, sudi menyumbangkan sebuah lagu melayu asli dengan diiringi oleh pasukan ghazal SAKTI.

Sebelum itu, pada sebelah pagi pula telah berlangsung Majlis Graduasi, Anugerah Kokurikulum dan Anugerah Sistem Rumah 2011. Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr Azalina bt Hj Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang. Turut hadir ialah Yang Berbahagia En. Mohd Fadzil bin Ishak, Timbalan PPD Kota Tinggi dan YDP PIBG SAKTI, En A. Kadir bin Senin. Pada sidang pagi ini, tetamu turut dihiburkan dengan beberapa persembahan mantap daripada pelajar seperti tarian zapin, koir bahasa Jepun dan konsert. Ynag Berhormat Dato, Seri Dr Azalina turut menyampaikan sijil-sijil graduasi kepada pelajar-pelajar tingkatan lima 2011. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat.

Sunday, November 13, 2011

SEKILAS BERITA: SPM BERMULA

Sekali lagi 'gelanggang' pertempuran akan dibuka. Kali ini untuk anak-anak SPM SAKTI. Moga diberikah hidayah, ketenangan dan dipermudahkan untuk menjawab semua soalan. Kami yakin anda semua mampu melakukan yang terbaik. Kami yakin semua mempunyai HAK untuk meraih 9A+. Kami yakin semua mempunyai HAK untuk sama-sama gembira dengan keputusan yang cemerlang.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM 2011

Saturday, October 22, 2011

SEKILAS BERITA : Sabtu yang sebuk..




Kecemerlangan Bahasa Inggeris SPM





Tuan Pengetua turut turun padang bersama pegawai audit.


Tn Syed Musni Pembentang... Hari Profesionalisme.




Hari Sabtu, 22 Oktober 2011, menjadi hari yang cukup sebuk bagi warga SAKTI termasuk guru-gurunya. Pelbagai program / acara dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan untuk sentiasa cemerlang dalam pelbagai bidang. Antaranya, Program Profesionalisme Guru yang diadakan di Bilik Mesyuarat Desaru, Program Peningkatan SPM Bahasa Inggeris di Dewan Makan, Program Bahasa Asing (Bahasa Jepun) bersama TIGS Batu Bahat di Dewan Seri Penawar, Perkhemahan Pelajar Lepasan PMR di Sungai Lebam, Kejohanan Ragbi Jemputan KGV 10's di Seremban dan Persembahan Pancaragam UTHM di Batu Pahat. Tahniah dan terima kasih kepada guru-guru dan staf sokongan yang terlibat dalam program-program yang telah disebutkan di atas. Jasa tuan amat dihargai. TQ.

Thursday, October 13, 2011

ANAKLANANG SAKTI: KECIL YANG BESAR



Telah menjadi fitrah kehidupan, manusia seringkali mengharapkan habuan yang besar dari usaha yang juga besar. Seorang peniaga selalu berangan-angan mengaut keuntungan yang besar setelah melabur modal yang besar untuk perniagaannya.Golongan ini sanggup bergolok bergadai menyediakan modal bagi memastikan habuan yang diterima melalui perniagaannya lumayan. Lantaran itu, kita tidak perlu berasa pelik bila mendengar atau membaca berita bahawa ramai dalam kalangan peniaga yang kecewa apabila mengalami kegagalan dalam urusan perniagaannya. Malah, tidak kurang juga yang muflis sehingga sanggup membunuh diri. Semuanya gara-gara hajat daripada usaha yang besar tidak mendatangkan pulangan yang besar sebagaimana yang diimpikan.


Kekecewaan mengaut ‘laba’ yang lumayan setelah berbelanja ‘besar’ cuma mendedahkan kelemahan diri. Golongan ini tidak memiliki jatidiri yang kuat sehingga gagal mendepani cabaran dan rintangan. Mereka hanya bergantung kepada ‘fitrah’ tanpa memikirkan bahawa ada kuasa lain yang secara mutlaknya menentukan ‘untung rugi’ urusan seharian kita. Sekadar untuk berduka seketika mungkin masih boleh diterima. Apatah lagi bila dukacita itu, kita gunakan untuk bermuhasabah diri dan memasang strategi untuk terus bangkit dari kegagalan.

Sebenarnya, impak atau keberhasilan sesuatu usaha tidak bergantung sepenuhnya kepada skala modal yang kita laburkan. Ada rakan-rakan di sekeliling kita hanya mengeluarkan modal yang sedikit tetapi berjaya mengaut keuntungan yang dia sendiri tidak menjangkakan. Hebat bukan? Biasanya orang-orang seperti ini akan mendapat lebih tumpuan. Rakan taulan akan bertanya….apa rahsianya?,…. hebatnya kau!, ….kau pakai ubat guna-guna kot!. Untuk menjawab pertanyaan yang bertali arus itu nyata lebih sukar sebab kita tidak bersedia!. Namun perlu diingat, apa sahaja jawapan yang kita berikan perlu berhati-hati. Si yang bertanya pasti akan menggunakan jawapan kita untuk dianasilis. Apatah lagi jika yang bertanya itu adalah ‘pesaing’ kita. Namun, jangan cepat bangga diri. Mungkin itu sekadar satu permulaan ujian Allah untuk menilai tahap ‘keangkuhan’ kita.

Dikaitkan dengan senario persekolahan masa kini, tanggapan ‘modal besar, untung besar’ turut menjadi penentu kepada perancangan pihak pengurusan setiap awal tahun. Penghasilan dan penyediaan perancangan tahunan yang kemas dan tersusun sudah menjadi satu kemestian kerana menjadi dokumen ‘wajib tayang’ kepada sesiapa juga tetamu yang hadir ke sekolah. Malah bagi sesetengah tetamu, mereka terlalu kritikal dalam menilai dokumen tersebut. Sehinggakan, mereka kadangkala mengambil masa yang lama untuk berhujah mempertikaikan kaedah atau format penulisan dokumen berbanding menilai keberkesanan pelaksanaan atau impak perancangan berkenaan!. Apa yang lebih mengharukan ialah, ada yang mengukur kehebatan sekolah berdasarkan ketebalan dokumen yang dipamerkan. Sebab itulah, ada segelintir yang berlumba-lumba merangka, menyusun dan menambah program agar nampak tebal dan hebat dipandang! Lebih kreatif, mereka akan membuat salinan untuk dijadikan ‘tanda aras’. Jarang sekali, yang mengamalkan prinsip ‘5S’,iaitu sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal dalam menyediakan perancangan tahunan. Tiada keberanian untuk menyisihkan program-program yang memang tidak mendatangkan impak merupakan satu penyakit. Lebih kronik penyakit itu, jika wujud kebimbangan bahawa orang terdahulu akan berasa hati!...dah menjadi budaya…dah menjadi warisan….kenapa nak buang!!.

Merancang untuk mengubah sesuatu memang sukar dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Kualiti dan praktikaliti perlu diberi keutamaan. Apatah lagi jika perubahan itu ingin dilaksanakan di sekolah. Perubahan yang berfokus dan boleh menyakinkan guru akan mudah diterima. Harus sedar bahawa sekolah mempunyai kekangan tersendiri yang boleh menghalang perubahan yang ingin dilaksanakan. Bahan mentah, masa, kos, beban tugas dan persekitaran perlu difikirkan. Jangan nanti perubahan cuba dibuat tetapi terhenti di pertengahan jalan. Boleh ‘pitam’ kita kena ‘kutuk’ rakan-rakan!. Apa yang paling penting, perubahan itu mesti boleh diterima majoriti warga sekolah dan mempunyai keadah yang jelas untuk dilaksanakan. Bukan ‘syok’ sendiri!. Biarlah perancangan kita mendatangkan impak perubahan yang ‘kecil’ tetapi ada istiqamahnya!